Siri Kisah Nabi (2)
daripada al-Qur'an
daripada al-Qur'an
Nabi Yusuf
Dua pelajaran diperolehi daripada
kisah Nabi Yusuf. Pertama, mengenai makna sepatah
perkataan Arab di dalam al-Qur'an. Perkataan itu ialah "rasul"
yang lazimnya diguna untuk "Rasul Allah", atau "Utusan
Allah". Akan tetapi, pada sebuah ayat dalam surah Yusuf perkataan itu
digunakan oleh Allah untuk seorang utusan atau pembawa berita kepada seorang raja.
Inilah ayatnya:
"Raja berkata, 'Datangkanlah
dia (Yusuf) kepadaku.' Apabila rasul (utusan) datang kepadanya, dia
(Yusuf) berkata, 'Kembalilah kepada pemelihara (raja) kamu, dan tanyalah dia,
'Bagaimanakah dengan wanita-wanita yang memotong tangan mereka?' Sesungguhnya
Pemeliharaku mengetahui muslihat mereka.'" (Qur'an 12:50).
Maka perkataan rasul bukan
sahaja diguna untuk Rasul Allah, malah ia boleh digunakan untuk orang yang
tugasnya seperti utusan atau pembawa berita bagi orang lain.
Rasul di dalam ayat tadi adalah
orang suruhan bagi seorang raja yang dihantar, atau diutus, untuk berjumpa dan
membawa Nabi Yusuf dari penjara ke istana. Begitulah sedikit kisah Nabi Yusuf
yang menarik disebut di sini.
Dengan itu, membawa kepada pelajaran
kedua dalam kisah Nabi Yusuf dengan adik-beradik, ibu dan bapanya. Cerita-cerita
mereka merupakan suatu pelajaran juga, seperti kata Allah:
"Sesungguhnya dalam
cerita-cerita mereka adalah pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai
minda" (12:111).
Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam
Surah ke-12 al-Qur'an. Nama surah itu pun mengambil sempena nama Nabi Yusuf,
iaitu Yusuf. Menurut suatu sumber, baginda dikatakan tinggal di sekitar
tahun 1700 S.M, iaitu kira-kira 3,700 tahun dahulu. Atau, kurang lebih dua ribu
tiga ratus tahun sebelum kemunculan Nabi Muhammad.
Kisah Nabi Yusuf adalah cerita yang
paling baik dalam al-Qur'an. Firman-Nya:
"Kami menceritakan kepada kamu
cerita yang paling baik dalam apa yang Kami mewahyukan kamu, al-Qur'an
ini" (12:3).
Cerita bermula dengan mimpi Nabi
Yusuf semasa dia kanak-kanak. Mimpi itu diceritakannya kepada bapanya Yaakub,
yang juga menjadi seorang Nabi.
"Apabila Yusuf berkata kepada
bapanya, 'Ayah, saya melihat sebelas bintang, dan matahari, dan bulan; saya
melihat mereka sujud kepada saya" (12:4).
Setelah mendengar cerita Yusuf,
bapanya melarang mimpi itu daripada diceritakan kepada saudara-saudaranya. Dia
juga memberi tahu Yusuf bahawa Tuhan telah memilihnya dan mengajarnya
interpretasi mimpi.
Abang-abangnya tidak suka padanya
kerana mereka sangka Yusuf dan adiknya lebih dicintai oleh bapa mereka daripada
mereka. Lalu mereka bercadang untuk membunuh atau membuang Yusuf ke tempat
lain. Akan tetapi,
"Seorang daripada mereka
berkata, 'Tidak, janganlah membunuh Yusuf, tetapi lemparlah dia ke dasar
perigi, dan sebahagian pengembara akan memungutnya, jika kamu mahu
melakukan'" (12:10).
Setelah menetapkan rancangan itu
mereka pergi kepada bapa mereka, meminta kebenarannya, supaya Yusuf dapat pergi
bersama mereka untuk bersuka-suka dan bermain-main pada keesokan hari.
Pada mulanya bapa mereka keberatan
untuk membenarkan Yusuf pergi bersama mereka, dengan berkata "Ia
menyedihkan aku bahawa kamu pergi dengannya, dan aku takut akan serigala
memakannya sedang kamu lalai daripadanya" (12:13).
"Maka apabila mereka pergi
dengannya, dan mereka bersetuju untuk meletakkan dia di dasar perigi, lalu Kami
mewahyukannya, 'Kamu akan memberitahu mereka mengenai perbuatan mereka ini
apabila mereka tidak menyedari'" (12:15).
Mereka balik kepada bapa mereka pada
waktu isyak, menangis dan berkata, "Ayah, kami pergi berlumba lari, dan meninggalkan
Yusuf dengan barang-barang kami, lalu serigala memakannya. Tetapi ayah tidak
akan mempercayai kami, walaupun kami berkata benar."
Dan, mereka menunjukkan baju Yusuf
dengan darah palsu padanya. Bapanya berkata, "Tidak, tetapi jiwa kamu
menghasut kamu untuk melakukan sesuatu perkara. Tetapi marilah, kesabaran yang
manis! Dan pertolongan Allah dipohonkan terhadap apa yang kamu
menyifatkan."
Tidak lama kemudian,
pengembara-pengembara datang ke perigi di mana Yusuf berada di dasarnya. Mereka
mengutus seorang pengambil air lalu dia menurunkan timbanya. Tiba-tiba dia
berkata, "Oh, berita gembira! Ini seorang anak lelaki muda."
Mereka mengambil Yusuf dan
merahsiakannya sebagai barang dagangan; dan Allah mengetahui apa yang mereka
buat. Kemudian mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, hanya beberapa
dirham sahaja, kerana mereka tidak menghargainya.
Orang yang membelinya, dari Mesir,
berkata kepada isterinya, "Berilah dia tempat tinggal yang mulia, dan
boleh jadi dia akan bermanfaat kepada kita, atau kita mengambil dia sebagai
anak sendiri."
Dengan itu, Tuhan meneguhkan Yusuf
di bumi supaya Dia mengajarnya interpretasi mimpi.
Maka tinggallah Nabi Yusuf bersama
orang Mesir yang membelinya sehingga dewasa. Dia menjadi seorang lelaki yang
amat kacak. Kekacakan beliau membuatkan perempuan, yang di rumahnya dia
tinggal, tergoda.
Perempuan itu menutup pintu-pintu
seraya berkata, "Marilah kepadaku!" Yusuf menjawab, "Pada
Allah berlindung! Sesungguhnya tuanku telah memberi aku tempat tinggal yang
baik!"
Kalau tidak kerana pertolongan
Allah, Nabi Yusuf turut tergoda pada perempuan itu. Kedua-duanya lari ke pintu,
dan perempuan tersebut mengoyakkan baju Yusuf dari belakang.
Mereka mendapati ketua mereka di
depan pintu. Perempuan itu berkata, "Apakah balasan bagi orang yang
menghendaki kejahatan terhadap keluarga kamu, melainkan bahawa dia
dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?"
Yusuf berkata, "Dia yang
menggoda saya". Lalu seorang daripada ahli keluarga itu memberi suatu
penjelasan, "Jika bajunya dikoyakkan di bahagian depan, maka perempuan itu
telah berkata benar, dan Yusuf berdusta, tetapi jika bajunya dikoyakkan di
bahagian belakang, maka perempuan itulah yang berdusta, dan Yusuf orang
yang benar."
Apabila ketua mereka melihat bajunya
dikoyakkan dari belakang, dia berkata, "Ini muslihat perempuan daripada
kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar. Yusuf, berpalinglah daripada ini, dan
kamu, perempuan, mintalah ampun atas kesalahan kamu; sesungguhnya kamu
bersalah."
Kejadian itu sampai ke telinga
wanita-wanita tertentu di kota. Mereka berbisik, "Isteri Gabenor menggoda
pemudanya yang menundukkan hatinya dengan cinta!"
Setelah isteri Gabenor mendengar
bisikan-bisikan licik mereka, dia mengutus kepada mereka, dan menyediakan bagi
mereka tempat-tempat bersandar, kemudian dia memberikan tiap-tiap seorang
daripada mereka sebilah pisau.
Kemudian, dia menyuruh Yusuf pergi
kepada perempuan-perempuan tersebut. Apabila mereka melihatnya, mereka sangat
kagum padanya, lalu mereka memotong tangan-tangan mereka, dengan berkata,
"Dijauhkan Allah! Bukanlah ini manusia; dia tidak lain, hanyalah seorang
malaikat yang mulia."
Lalu isteri Gabenor berkata,
"Inilah dia orangnya yang kamu mencela aku dengannya. Benar, aku telah
menggoda dia, tetapi dia menolak. Dan, jika dia tidak membuat apa yang aku
memerintahkannya, dia akan dipenjarakan."
Yusuf berkata, "Pemeliharaku,
penjara lebih aku menyukai untukku daripada apa yang mereka menyeru aku
kepadanya, dan jika Engkau tidak memalingkan muslihat mereka daripada
aku, tentu aku akan berkeinginan benar pada mereka, dan aku menjadi orang yang
bodoh."
Pemeliharanya pula menyahutinya, dan
Dia memalingkan daripadanya muslihat perempuan-perempuan itu; sesungguhnya
Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.
Maka Yusuf dimasukkan ke dalam
penjara. Bersama dia adalah dua orang pemuda. Seorang daripada mereka berkata,
"Aku bermimpi bahawa aku memerah anggur." Berkata yang lain,
"Aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku dan burung-burung
makan sebahagiannya. Beritahulah kami interpretasinya. Kami melihat bahawa kamu
adalah orang yang berbuat baik."
Yusuf berkata, "Wahai
rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada kamu, dia akan menuangkan
minuman arak untuk tuannya; bagi yang satu lagi, dia akan disalib, dan burung
akan makan sebahagian daripada kepalanya."
Kemudian dia berkata kepada orang
yang dia menyangka akan diselamatkan antara keduanya, "Sebutlah aku kepada
tuan kamu." Akan tetapi, syaitan menjadikan dia lupa untuk menyebutnya,
supaya dia tetap di dalam penjara selama beberapa tahun.
Suatu hari, raja berkata, "Aku
melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus memakan
mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai
pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku mimpiku."
Tiada seorang pun antara mereka yang
tahu. Kemudian pemuda yang telah diselamatkan dahulu berkata, setelah teringat,
"Aku sendiri akan memberitahu kamu interpretasinya, maka utuslah
aku."
"Wahai Yusuf orang yang benar,
putuskanlah kepada kami mengenai tujuh ekor lembu yang gemuk, yang tujuh yang
kurus memakan, dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain
kering, supaya aku kembali kepada mereka agar mereka mengetahui."
Yusuf berkata, "Kamu menyemai
tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, tinggalkanlah ia pada
tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan. Kemudian sesudah itu, akan
datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang memakan apa yang kamu
menyediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu simpan. Selepas itu,
akan datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan hujan, dan padanya
mereka memerah."
Raja berkata setelah mendengar
interpretasi mimpi oleh Yusuf yang dibawa oleh utusannya, "Datangkanlah
dia kepadaku." Apabila utusan itu tiba, Yusuf berkata, "Kembalilah
kepada tuan kamu, dan tanyalah dia, mengenai wanita-wanita yang memotong tangan
mereka?"
Raja bertanya, "Apakah urusan
kamu, perempuan-perempuan, apabila kamu menggoda Yusuf?" Mereka menjawab,
"Dijauhkan Allah! Kami tidak mengetahui kejahatan padanya."
Isteri Gabenor berkata,
"Sekarang yang benar akhirnya menjadi nyata. Sayalah yang
menggodanya."
Raja berkata, "Datangkanlah dia
kepadaku. Aku akan mendekatkannya dengan diriku." Setelah Yusuf berada
dengannya, dia berkata kepada Yusuf, "Pada hari ini, kamu berkedudukan
teguh dalam sokongan kami, dan dalam kepercayaan kami."
Yusuf berkata, "Lantiklah saya
kepada perbendaharaan bumi ini; saya adalah penjaga yang alim
(berpengetahuan)."
"Maka Kami meneguhkan Yusuf di
bumi untuk dia menetap di mana sahaja dia kehendaki, dan Kami tidak
mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik" (12:56).
Suatu hari, saudara-saudara Yusuf
datang lalu masuk kepadanya. Dia kenal akan mereka, tetapi mereka tidak
mengenalinya. Mereka datang untuk meminta pertolongan makanan.
Setelah Yusuf menyiapkan bekal untuk
mereka, dia berkata, "Datangkanlah kepadaku saudara kamu yang tertentu
daripada bapa kamu. Tidakkah kamu melihat aku menepati sukatan, dan aku yang
terbaik daripada penerima-penerima tamu? Tetapi jika kamu tidak mendatangkan dia
kepadaku, maka tidak akan ada sukatan bagi kamu denganku, dan tidak juga kamu
dapat mendekatiku."
Mereka menjawab, "Kami akan
memujuk bapa kami; itu kami akan buat."
Lalu Yusuf menyuruh budak-budak
suruhannya meletakkan balik barang-barang mereka (yang dibawa untuk mengganti
bekalan makanan daripada Yusuf) ke dalam pundi-pundi mereka supaya mereka
mengenalinya apabila mereka balik kepada keluarga mereka.
Apabila mereka kembali kepada bapa
mereka, mereka berkata, "Ayah, sukatan itu akan dinafikan kepada kami,
maka utuslah bersama kami saudara kami supaya kami mendapatkan sukatan itu.
Sesungguhnya kami akan menjaganya."
Bapa mereka berkata, "Adakah
aku akan mempercayai kamu kepadanya seperti aku mempercayai kamu kepada
saudaranya dahulu?"
Dan, apabila mereka membuka
barang-barang mereka, mereka mendapati barang-barang mereka dikembalikan kepada
mereka. Mereka berkata, "Ayah, apakah yang kita menginginkan lagi?
Barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan kita mendapat bekalan makanan
untuk keluarga kita, dan kita akan menjaga saudara kita; kita akan mendapat
tambahan beban seekor unta. Itulah sukatan yang mudah."
"Aku tidak akan mengutusnya
bersama kamu sehingga kamu memberi aku satu janji yang teguh dengan Allah,
bahawa kamu pasti akan mendatangkannya kembali kepadaku, kecuali kamu
diliputi." Apabila mereka telah memberikannya janji mereka, dia berkata,
"Allah menjadi Wakil atas apa yang kami ucapkan."
Maka
apabila mereka masuk kepada Yusuf sekali lagi, dia mengambil saudaranya kepadanya, seraya berkata, "Aku saudara kamu; maka
janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang mereka buat."
Kemudian, apabila Yusuf menyiapkan
persiapan untuk mereka, dia meletakkan gelas minumannya ke dalam pundi saudara
yang diambilnya.
Sedang mereka mula bertolak untuk
kembali kepada keluarga mereka, datang pula orang yang menyeru, "Hai
kafilah, kamu adalah pencuri!"
Mereka bertanya sambil mendekati
orang yang menyeru, "Apa yang kamu hilang?"
"Kami kehilangan gelas berkaki
kepunyaan raja. Sesiapa mendatangkannya akan mendapat beban seekor unta; itu
aku jamin."
Mereka berkata, "Demi Allah,
kamu mengetahui bahawa kami tidak datang untuk membuat kerosakan di bumi. Kami
bukanlah pencuri."
"Apakah balasannya jika kamu
adalah pendusta?"
"Balasannya - dalam pundi
sesiapa ia didapati, maka dialah balasannya. Begitulah kami membalas
orang-orang yang zalim."
"Maka dia (Yusuf) memulakan
dengan karung-karung mereka sebelum karung saudaranya, kemudian dia
mengeluarkannya daripada karung saudaranya. Begitulah Kami membuat muslihat
untuk Yusuf; dia tidak boleh mengambil saudaranya, menurut agama (pengadilan)
raja, kecuali apa yang Allah menghendaki.
Mereka berkata, "Jika dia
seorang pencuri, seorang saudaranya adalah seorang pencuri dahulu." Tetapi
Yusuf merahsiakannya di dalam dirinya, dan tidak menampakkannya kepada mereka,
dengan berkata, "Kedudukan kamu lebih buruk; Allah sangat mengetahui apa
yang kamu menyifatkan."
Mereka berkata, "Wahai al-aziz
(yang perkasa), dia mempunyai bapa yang sangat tua; maka ambillah salah seorang
antara kami untuk mengganti tempatnya; kami melihat bahawa kamu adalah antara
orang-orang yang berbuat baik."
Berkata, "Allah menegah bahawa
kami patut mengambil sesiapa sahaja kecuali orang yang kami mendapati barang
kami padanya, kerana jika kami berbuat demikian, tentulah kami menjadi
orang-orang yang zalim" (12:76-79).
Apabila mereka kembali kepada bapa
mereka dan menceritakan hal saudaranya yang mencuri dan ditahan di Mesir
kedukaan bapanya bertambah,
"Dan dia berpaling daripada
mereka, dan berkata, 'Aduhai, dukacitaku untuk Yusuf!' Dan kedua-dua matanya
menjadi putih kerana kesedihan yang mencekiknya di dalam dirinya" (12:84).
Kemudian dia berkata, "Wahai
anak-anakku, pergilah dan carilah berita mengenai Yusuf dan saudaranya.
Janganlah berputus asa daripada kesenangan Allah; daripada kesenangan Allah,
tiada yang berputus asa melainkan kaum yang tidak percaya (kafir)."
Lalu mereka pergi kepada Yusuf dan
berkata, "Wahai al-aziz, penderitaan telah menyentuh kami dan keluarga
kami. Kami datang dengan barang-barang yang tidak berharga. Tepatilah kepada
kami sukatan, dan bersedekahlah kepada kami; sesungguhnya Allah membalas
orang-orang yang bersedekah."
Yusuf bertanya, "Adakah kamu
mengetahui apa yang kamu melakukan terhadap Yusuf dan saudaranya, ketika kamu
orang-orang yang bodoh?"
Mereka menjawab, "Mengapa,
adakah kamu benar-benar Yusuf?"
Dia berkata, "Aku Yusuf. Ini
saudaraku. Sungguh, Allah telah berbudi baik kepada kami. Sesiapa bertakwa dan
bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat
baik."
Mereka berkata, "Demi Allah,
sesungguhnya Allah lebih menyukai kamu daripada kami, dan sesungguhnya kami
bersalah."
Yusuf berkata, "Tidak ada
celaan pada hari ini kepada kamu; Allah mengampuni kamu; Dia yang paling
berpengasihan daripada yang berpengasihan. Pergilah, ambil baju ini, dan kamu
lemparlah ia kepada muka ayahku, dan dia akan memperoleh kembali
penglihatannya; kemudian datangkanlah kepadaku keluarga kamu kesemuanya."
Maka, apabila kafilah telah
berangkat, bapa mereka berkata, "Sesungguhnya aku mendapati bau Yusuf,
melainkan kamu menuduh aku nyanyuk."
Mereka berkata, "Demi Allah,
sungguh kamu adalah dalam kesesatan kamu yang dahulu."
Tetapi apabila pembawa berita
gembira datang kepadanya dan melemparkan baju Yusuf ke mukanya, tiba-tiba dia
kembali dapat melihat. Dia berkata, "Tidakkah aku mengatakan kepada kamu
bahawa aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak tahu?"
Mereka berkata, "Ayah kami,
mintalah ampun untuk kami atas kesalahan-kesalahan kami; sesungguhnya kami
bersalah."
"Sungguh, aku akan meminta
Pemeliharaku untuk mengampuni kamu; sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang
Pengasih."
Kemudian mereka berangkat ke Mesir
untuk menemui Yusuf.
"Maka, apabila mereka masuk
kepada Yusuf, dia mengambil ibu dan bapanya kepadanya, dengan berkata,
'Masuklah kamu ke Mesir, jika Allah mengkehendaki, dalam keadaan aman.'
Dan dia menaikkan ibu dan bapanya ke
atas singgahsana; dan yang lain, jatuh bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah,
inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu; Pemelihara saya telah membuatnya
benar. Dia telah berbudi baik kepada saya apabila Dia mengeluarkan saya dari
penjara, dan Dia mendatangkan kamu dari gurun setelah syaitan menyelisihkan
antara saya dan saudara saya. Pemelihara saya halus terhadap apa yang Dia mengkehendaki;
sesungguhnya Dialah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana.
Wahai Pemeliharaku, Engkau telah
memberikan aku untuk memerintah, dan Engkau telah mengajar aku interpretasi
mimpi. Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan
akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang
yang salih" (12:99-101).
Apakah pelajaran atau
pelajaran-pelajaran yang anda perolehi daripada kisah Nabi Yusuf dengan
saudara-saudaranya?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar